Diesel bersubsidi turun kepada RM2.10 seliter mulai Julai

PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia bermula Julai ini menerusi pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam di seluruh negara.

Kementerian Kewangan dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, pengumuman itu dibuat Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri program di Bintulu, Sarawak.

Menurut kementerian itu, pelaksanaan baharu berkenaan menggunakan mekanisme berasaskan MyKad, selaras dengan pendekatan yang dilaksanakan menerusi BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

"Melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan kaedah yang sama di seluruh negara termasuk di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi," menurut kenyataan itu.

Kementerian Kewangan berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan subsidi kerajaan hanya dinikmati rakyat Malaysia selain mengurangkan ketirisan serta kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi, terutama ketika krisis Asia Barat terus memberi tekanan terhadap bekalan minyak global.

Katanya, perbezaan ketara antara harga diesel bersubsidi dan harga tanpa subsidi mewujudkan ruang kepada ketirisan serta penyeludupan, termasuk ke luar negara.

Ketika ini, menurutnya, diesel dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, berbanding harga diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter di Semenanjung Malaysia.

"Dengan pembaharuan penyasaran subsidi diesel, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan kepada harga runcit di Semenanjung Malaysia dan dengan itu, bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi.

"Pada masa sama, rakyat di Sabah dan Sarawak yang memiliki kenderaan diesel akan menikmati pengurangan harga runcit daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter," katanya.

Kementerian itu berkata, maklumat lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan berkenaan akan diumumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, esok.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!