Cubaan seludup petrol dan beras di Semporna digagalkan

SEMPORNA: Cubaan menyeludup pelbagai barangan kawalan dan keperluan harian menggunakan sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Semporna dalam kejadian di perairan daerah ini, awal pagi tadi. 

Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu berlaku ketika sepasukan anggota yang mengendalikan Bot Banggi 09 sedang melaksanakan rondaan bersepadu menerusi Op Sejahtera, Op Khas Cegah PATI (OCP) Covid-19 Sektor Timur dan Op Tiris 4.0.

Menurutnya, anggota terbabit mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sebelum bot berkenaan bertindak memecut laju bagi melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, hasil kecekapan anggota Maritim Malaysia, bot pam terbabit berjaya dipintas kira-kira 25 minit kemudian di kedudukan 0.1 batu nautika timur laut Kampung Bangau-Bangau.

“Juragan bot bagaimanapun bertindak nekad terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan perumahan atas air di kampung berkenaan bagi mengelakkan dirinya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, maklumat awal mendapati sindiket berkenaan aktif menjalankan kegiatan pada awal pagi bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Namun, hasil kesiapsiagaan anggota dan maklumat risikan yang diperoleh, cubaan penyeludupan itu berjaya dipatahkan,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas bot berwarna kelabu itu menemukan tujuh tong gas, lima tong 'jerry can' berisi petrol, 10 kampit beras seberat 10 kilogram pelbagai jenama, 14 tin cat bersaiz lima liter, sembilan tin cat bersaiz satu liter serta sebuah tong ikan berwarna merah.

Katanya, kesemua barangan rampasan bersama bot dan enjin terbabit ditunda ke Jeti Kem Azumi, Semporna sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Zon Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang negara, khususnya membabitkan kegiatan penyeludupan barangan kawalan keluar dari sempadan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah di laut supaya segera menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Maritim Zon Semporna bagi membantu usaha penguatkuasaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama