AMT, tiga Ketua Wanita bahagian umum keluar Warisan, sokong GRS

KOTA KINABALU: Seorang Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan Sabah (Warisan) bersama tiga Ketua Wanita bahagian mengumumkan keluar parti dan menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Ahli Majlis Tertinggi Warisan merangkap Naib Ketua Bahagian Warisan Kota Belud, Mohd Taib Isai, berkata keputusan itu dibuat bersama beberapa pimpinan dan ahli parti dari pelbagai peringkat selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi Warisan.

Beliau berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas menilai perkembangan politik semasa serta kegagalan kepimpinan parti menyatukan kekuatan politik Sabah demi kepentingan rakyat dan negeri.

"Ramai pemimpin akar umbi semakin kecewa kerana suara mereka tidak lagi diberi perhatian dan parti dilihat semakin jauh daripada aspirasi rakyat Sabah.

"Keputusan ini bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya selepas pertimbangan yang mendalam terhadap hala tuju parti dan landskap politik semasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Turut mengumumkan keluar Warisan ialah Ketua Wanita Warisan Kudat merangkap Exco Wanita Pusat, Datin Roziah; Ketua Wanita Warisan Kota Marudu merangkap Exco Wanita Pusat, Maini Tapah; serta Ketua Wanita Warisan Sandakan merangkap Exco Wanita Pusat, Masilah Lidah.

Mohd Taib berkata, mereka yakin kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berjaya mewujudkan kestabilan politik serta menyatukan pelbagai parti tempatan menerusi agenda pembangunan negeri yang jelas.

Beliau berkata, pendekatan inklusif dan sederhana yang dibawa Hajiji memberi keyakinan bahawa masa depan Sabah lebih terjamin di bawah kepimpinan GRS.

"Atas keyakinan itu, kami mengambil keputusan menyertai Gagasan Rakyat dan memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam meneruskan agenda pembangunan negeri," katanya.

Selain empat pemimpin terbabit, beberapa bekas pimpinan bahagian, ahli jawatankuasa bahagian, ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) serta pemimpin akar umbi dari Kota Belud dan Kudat turut mengambil langkah sama.

Mohd Taib percaya gelombang sokongan terhadap Gagasan Rakyat dan GRS akan terus meningkat dengan lebih ramai lagi pimpinan serta ahli Warisan dijangka mengambil keputusan sama dalam tempoh terdekat bagi menyertai perjuangan yang disifatkannya lebih stabil, progresif dan berfokus kepada kepentingan Sabah.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama