KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) secara rasmi diterima sebagai ahli gabungan baharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekali gus memperkukuh kerjasama parti-parti tempatan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keputusan menerima UPKO sebagai ahli gabungan baharu telah dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang berlangsung di sini pada Khamis.
Beliau berkata, penyertaan UPKO selaras dengan perjuangan GRS yang mengutamakan agenda Sabah First dan usaha memperkukuh kesatuan parti-parti tempatan demi kestabilan politik negeri.
“Kita telah bersetuju sebulat suara untuk menerima UPKO sebagai ahli gabungan baharu GRS.
“Penerimaan ini sejajar dengan perjuangan GRS sendiri iaitu Sabah First dan untuk memberi kekuatan kepada parti-parti gabungan tempatan serta mewujudkan kestabilan kerajaan negeri yang sedia ada,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS, di sini hari ini.
Menurutnya, penyertaan UPKO berkuat kuasa serta-merta dan perkara itu akan dimaklumkan secara rasmi kepada kepimpinan parti berkenaan.
Hajiji berkata, kemasukan UPKO dijangka mengukuhkan lagi kedudukan GRS sebagai gabungan politik yang diterajui parti-parti tempatan Sabah.
Tambah Hajiji, GRS turut memperkemaskan persiapan awal menghadapi PRU akan datang menerusi pelantikan enam pengerusi zon bagi menyelaras gerak kerja dan memantau kesiapsiagaan jentera parti di seluruh Sabah.
Katanya, walaupun tempoh Parlimen hanya akan berakhir pada penghujung tahun depan, persediaan awal perlu dilakukan bagi memastikan jentera parti berada pada tahap terbaik.
“Apa yang dititikberatkan ialah kerjasama dan perpaduan dalam kalangan parti-parti komponen GRS serta rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan di Sabah.
“Ini amat penting kerana kita mahu mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya Parlimen akan datang,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa GRS berhasrat bertanding di kesemua 25 kerusi Parlimen di Sabah dan akan memilih calon yang mempunyai peluang terbaik untuk memenangi kerusi masing-masing.
“Kita akan mencari siapa yang boleh menang. Itu yang paling penting,” tambahnya.
.jpeg)