KOTA KINABALU: Seramai 114 warga asing ditahan dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di daerah Tawau, Lahad Datu dan Sandakan.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi berkenaan dijalankan menerusi Ops Bersepadu, Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Jaja.
Menurutnya, di Tawau, seramai 108 individu diperiksa dengan 61 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta melanggar syarat pas mengikut Akta Imigresen 1959/63.
"Daripada jumlah itu, 54 adalah warga Filipina membabitkan 53 lelaki dewasa dan seorang perempuan dewasa.
"Turut ditahan seorang lelaki warga Pakistan serta enam warga Indonesia membabitkan dua lelaki dan empat perempuan dewasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, di Lahad Datu pula, seramai 86 individu diperiksa dengan 35 warga asing ditahan.
Katanya, tangkapan membabitkan warga Filipina iaitu tujuh lelaki dewasa, enam perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.
"Turut ditahan 13 warga Indonesia terdiri daripada tiga lelaki dewasa, tiga perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan," katanya.
Sitti Saleha berkata, operasi di Sandakan pula menyaksikan 64 individu diperiksa dan 18 warga asing ditahan.
"Daripada jumlah itu, 17 adalah warga Filipina membabitkan sembilan lelaki dewasa dan lapan perempuan dewasa, manakala seorang lagi adalah wanita warga Indonesia," katanya.
Beliau berkata, semua yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke depot tahanan imigresen bagi tujuan dokumentasi serta siasatan lanjut.
Menurutnya, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara sentiasa terpelihara.
