1,000 usahawan Sabah disasar raih jualan RM10 juta menerusi TikTok Shop

KOTA KINABALU: Seramai 1,000 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Sabah disasarkan meraih jualan sebanyak RM10 juta menerusi platform TikTok Shop melalui pelaksanaan program Sabah Digital Launchpad 2026.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri MINDET, Datuk Ewon Benedick, berkata program hasil kerjasama antara SME Corp Malaysia dan TikTok Shop Malaysia itu turut melibatkan pelaburan RM1 juta dalam bentuk geran, latihan serta sokongan komuniti kepada usahawan.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan merupakan antara usaha mempercepatkan transformasi digital dalam kalangan usahawan tempatan agar mampu bersaing dalam ekonomi digital yang semakin berkembang.

“Kerjasama antara SME Corp Malaysia dan TikTok Shop Malaysia melalui program Sabah Digital Launchpad 2026 menyasarkan seramai 1,000 usahawan PMKS dengan sasaran jualan RM10 juta menerusi akaun digital TikTok Shop.

“Program ini turut melibatkan pelaburan RM1 juta dalam bentuk geran, latihan dan sokongan komuniti bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis perasmian Sabah SME Fest 2026 di sini, hari ini. 

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET), Datuk Jonnybone J Kurum dan Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian Penyelidikan (DIDR), Siti Nur Ain Abdullah. 

Menurutnya, program berkenaan akan dilaksanakan di beberapa daerah termasuk Tawau, Sandakan, Kudat, Ranau, Keningau dan Kota Belud bagi memastikan lebih ramai usahawan luar bandar turut mendapat manfaat daripada ekonomi digital.

Kata Ewon, inisiatif itu bukan sekadar memperkasa perniagaan PMKS, malah berperanan memperkenalkan budaya serta produk tempatan Sabah ke pasaran yang lebih luas.

Katanya, kerajaan komited menyokong usaha berkenaan supaya lebih ramai usahawan negeri ini mampu berkembang daripada jenama tempatan kepada jenama kebanggaan nasional dan serantau.

“Justeru, saya menyeru rakyat Sabah untuk sama-sama menyokong produk tempatan melalui kempen Sabah Digital Mall di TikTok Shop.

“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan Sabah bukan sahaja berdaya tahan tetapi juga berdaya saing serta mampu mengembangkan perniagaan mereka hingga ke peringkat nasional dan antarabangsa,” ujarnya. 

Tambah beliau, kementeriannya akan terus memperkukuh ekosistem keusahawanan digital menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai platform, pendigitalan perniagaan, bantuan mesin dan peralatan, pensijilan serta perluasan aksespasaran bagi memastikan usahawan Sabah tidak ketinggalan dalam arus perubahan ekonomi semasa.

Menurutnya, usaha memperluaskan akses pasaran digital turut memberi limpahan ekonomi kepada sektor lain termasuk logistik, perkhidmatan sokongan dan industri hiliran, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri secara menyeluruh.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama
Kami juga ada di sini!