Warga emas hilang ketika menjala ikan ditemui di bawah jambatan gantung



TAMBUNAN: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar menjala ikan di Sungai Pagalan ditemukan tidak sedarkan diri di bawah jambatan gantung Sungai Nouduh, Kampung Nouduh, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Markus @ Marchous Antigang, 74, ditemukan oleh anaknya sendiri kira-kira jam 9.42 pagi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak awal pagi.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Darren John berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tambunan pada jam 8 pagi mengenai kehilangan mangsa.

Menurutnya, berdasarkan maklumat keluarga, mangsa keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang semalam menuju ke Sungai Pagalan untuk menjala ikan namun tidak pulang ke rumah.

“Seramai 12 anggota BBP Tambunan bersama beberapa agensi penyelamat lain dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 8.04 pagi sebelum operasi SAR dimulakan pada jam 8.10 pagi menggunakan kaedah ‘water surface search and rescue’ dalam radius pencarian sejauh 4.7 kilometer,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, operasi turut membabitkan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pegawai penjara, Pasukan Bomba Sukarela (PBS), bomba komuniti, kakitangan resort dan penduduk kampung.

Katanya, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah jambatan gantung Sungai Nouduh sebelum dibawa ke Hospital Tambunan oleh pihak polis untuk pengesahan lanjut.

“Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 10 pagi selepas mangsa berjaya ditemui,” katanya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama