![]() |
| Jauteh (tengah) ketika ditemui pemberita pada sidang media kes berkenaan, di sini. |
KOTA KINABALU: Polis Kontinjen Sabah menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) membongkar satu sindiket pengedaran dadah jenis cecair THC yang disalahgunakan melalui peranti vape disyaki menjadi modus operandi atau trend baharu di Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, sindiket berkenaan dikesan memperkenalkan modus operandi baharu dengan mencampurkan bahan dadah ke dalam cecair vape yang digunakan melalui peranti e-rokok.
“Ini merupakan trend baharu yang boleh menyebabkan pengguna mengalami khayal, kecelaruan mental dan ketagihan serius,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media kes tersebut, di sini, hari ini.
Katanya, kes pertama dikesan pada 3 Mei lalu apabila JSJN IPD Semporna menahan seorang lelaki di sebuah kawasan perumahan hasil maklumat risikan.
“Hasil pemeriksaan menemukan kira-kira 1,000 cartridge vape pelbagai jenis dengan anggaran berat 20 kilogram serta dua botol cecair berwarna biru dipercayai mengandungi bahan THC seberat kira-kira 11 kilogram,” ujar beliau.
Operasi itu dalam beberapa siri serbuan di Semporna, Kota Kinabalu, Penampang dan Tawau, melibatkan rampasan kira-kira 31 kilogram dadah serta penahanan empat individu termasuk seorang warga asing.
Beliau berkata, siasatan lanjut oleh JSJN IPK Sabah dengan bantuan IPD Semporna membawa kepada penahanan dua lagi suspek di daerah sama, sebelum seorang lagi lelaki ditahan di Tawau.
“Daripada tangkapan itu, kita turut menemui dadah jenis ganja bersama suspek di Tawau,” jelasnya.
Jauteh berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menggunakan kaedah baharu yang semakin membimbangkan kerana bahan dadah dicampurkan ke dalam cecair vape sebelum diedarkan kepada pengguna.
Beliau berkata, dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk ke Sabah melalui kargo sebelum diedarkan di pasaran tempatan.
Dalam pada itu, pada 11 Mei lalu, polis Sabah turut membongkar satu lagi aktiviti pengedaran dadah membabitkan syabu dan serbuk ekstasi di Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang.
“Hasil serbuan di beberapa lokasi membawa kepada rampasan kira-kira 63 kilogram dadah dan penahanan beberapa suspek termasuk wanita,” katanya.
“Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM3 juta.
“Polis percaya sindiket ini melibatkan rangkaian berbeza dan siasatan lanjut masih diteruskan dengan kerjasama agensi keselamatan termasuk di Bukit Aman,” ujar beliau.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah termasuk penggunaan kaedah baharu seperti cecair vape THC yang kini semakin membimbangkan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan trend vape yang disalahgunakan kerana ia boleh memberi kesan serius kepada kesihatan mental dan fizikal,” tambahnya.
.png)
.png)