Warga emas hilang ketika menjala ikan di Sungai Pagalan

TAMBUNAN: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang selepas dipercayai keluar menjala ikan di Sungai Pagalan berhampiran Kampung Nouduh, di sini, sejak petang isnin.

Warga emas hilang ketika menjala ikan di Sungai Pagalan Mangsa, Markus @ Marchous Antigang, 74, dilaporkan keluar dari rumah kira-kira jam 4 petang sebelum gagal pulang sehingga mencetuskan kebimbangan ahli keluarga.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tambunan pada jam 8 pagi tadi berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan 12 anggota bersama jentera dari BBP Tambunan dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba menghadiri sesi taklimat SAR bersama agensi penyelamat lain sebelum operasi pencarian dijalankan.

“Operasi dilakukan menggunakan kaedah ‘Water Surface Searching’ di sepanjang Sungai Pagalan dengan radius pencarian sejauh 9.7 kilometer,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Katanya, operasi SAR ditangguhkan pada jam 5.30 petang berikutan keadaan cuaca dan pencarian akan disambung semula hari ini.

“Sehingga operasi ditangguhkan, mangsa masih belum ditemukan,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama