NEWS without pix
for Sayang Sabah
TAWAU: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dihantar ke Sekolah Henry Gurney sehingga mencapai usia 21 tahun selepas mengaku bersalah merogol kekasihnya di sebuah kampung di sini, dua tahun lalu.
Perintah itu dibuat Majistret Don Stiwin Malanjum selepas mahkamah menerima pengakuan salah tertuduh atas pertuduhan merogol remaja berusia 15 tahun ketika kejadian.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengenali mangsa menerusi aplikasi dalam talian sebelum mereka melakukan hubungan seks sebanyak empat kali.
Pemeriksaan pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) kemudian mengesahkan terdapat kesan koyakan pada selaput dara mangsa yang konsisten dengan trauma fizikal akibat objek tumpul.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wildan Firdaus Ahmad Fazly, berhujah bahawa pertuduhan berkenaan membabitkan insiden yang berlaku di dalam sebuah kereta sewa dipandu tertuduh.
Katanya, memandangkan ini kali kedua tertuduh dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal yang bersesuaian.
Bagaimanapun, peguam bela, Andi Syafaat, dalam rayuan mitigasinya memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 91(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 supaya pesalah muda itu diberi peluang berubah dan kembali menjadi individu yang berguna kepada masyarakat.
Menurutnya, pengakuan bersalah tertuduh bukan sahaja menjimatkan masa dan kos mahkamah, malah wajar diambil kira sebagai faktor mitigasi dalam menjatuhkan hukuman.
Beliau berkata, tertuduh juga menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran di sebuah kolej swasta, sekali gus menunjukkan masih mempunyai peluang membina masa depan lebih baik.
Dalam rayuannya, tertuduh turut memohon hukuman ringan dan merayu diberikan peluang untuk berubah serta menyambung pelajaran.
Selepas meneliti semua fakta kes termasuk Laporan Akhlak oleh JKM selaras Seksyen 91(1)(f) Akta Kanak-Kanak 2001, mahkamah menerima pengakuan salah tertuduh sebelum memerintahkannya dihantar ke Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun bermula hari ini atau sehingga mencapai usia 21 tahun.
