Warga asing dicekup kes amang seksual remaja di Beaufort

BEAUFORT: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Kampung Limputong, Weston, di sini.

Dalam kejadian itu, suspek berusia 43 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort susulan laporan dibuat mangsa.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champiun Piuh berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keseluruhan kejadian serta tindakan susulan terhadap suspek.

Menurutnya, pihak polis memandang serius sebarang bentuk jenayah seksual membabitkan kanak-kanak dan tidak akan berkompromi dengan pelaku.

“Polis akan mengambil tindakan tegas bagi memastikan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya selain pelaku dibawa ke muka pengadilan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau turut menasihatkan masyarakat supaya lebih peka terhadap aspek keselamatan kanak-kanak serta segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika mengesyaki berlaku sebarang bentuk penderaan atau gangguan seksual di kawasan masing-masing.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama