160 belia kawasan pedalaman didedah pertanian moden

Jamawi (tengah) merakamkan gambar kenangan dengan semua yang hadir.


TENOM: Seramai 160 belia di kawasan pedalaman didedahkan dengan teknologi dalam sektor pertanian moden menerusi Program Perpaduan Sosial (Turun Padang) anjuran Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program selama tiga hari dua malam itu memberi fokus kepada penglibatan belia serta warga sekolah menerusi pelbagai aktiviti berteraskan pertanian dan pembangunan kemahiran.

Beliau berkata, program itu turut memberi penekanan kepada pendedahan berkaitan pertanian moden selain peluang kerjaya dan latihan dalam bidang berkenaan.

“Latihan ini dilaksanakan oleh Pusat Latihan Pertanian dan juga GIATMARA Tenom, yang merupakan satu-satunya institusi di Sabah menawarkan latihan teknologi pertanian berasaskan mekanisasi selama enam bulan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penutupan program berkenaan, di sini, pada Ahad. 

Hadir sama, Pegawai Pengelola Belia dan Sukan Bahagian Pedalaman Atas, Mohd Azmi Mohd Topik; Pengetua SMK Entabuan, Azlan Dimon; Pegawai Pertanian Kanan Daerah Tenom, Ts. Mohammad Fauzi Ab. Gulam dan Pengurus GIATMARA Tenom, Norhazrilah Latif.

Menurutnya, selain latihan ladang, peserta turut didedahkan dengan penggunaan teknologi moden seperti dron dalam sektor pertanian.

“Di Pusat Latihan Pertanian, peserta diajar bagaimana menjadi petani yang mempunyai idea baharu serta menggalakkan lebih ramai anak muda menceburi bidang ini pada masa hadapan,” jelasnya. 

Beliau berkata, peserta turut diberikan pendedahan dalam penghasilan kopi berkualiti tinggi selaras dengan reputasi Tenom sebagai pengeluar kopi.

“Hari ini juga masih ada kumpulan yang menjalani latihan menghasilkan kopi terbaik. 

“Pendedahan ini penting untuk melahirkan lebih ramai pengusaha baharu,” ujarnya. 

Tambah beliau, program itu membuktikan peranan kementerian bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan sukan, malah membantu memperkasa ekonomi belia melalui sektor pertanian.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama