PENAMPANG: Seorang wanita tempatan berusia 46 tahun ditahan selepas disyaki positif dadah dalam Ops Pusat Hiburan yang dijalankan di dua premis sekitar daerah ini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) itu adalah sebahagian usaha berterusan polis membanteras penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan seramai 38 individu terdiri daripada pekerja dan pengunjung premis diperiksa.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang wanita tempatan positif dadah dan telah ditahan untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah termasuk di premis hiburan.
“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan premis hiburan mematuhi undang-undang serta bebas daripada aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.
Sammy turut menasihatkan orang ramai khususnya golongan belia agar menjauhi dadah kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah boleh merosakkan masa depan.
“Polis komited memastikan Penampang kekal aman, selamat dan bebas daripada aktiviti jenayah serta penyalahgunaan dadah,” katanya.

