KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan tidak menolak kemungkinan untuk menaikkan amaun Pemberian Khas kepada Sabah dalam pembentangan Bajet 2027, tertakluk kepada kedudukan ekonomi negara ketika itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata pertimbangan itu dibuat sementara menunggu proses rundingan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah dimuktamadkan.
“Jika keadaan ekonomi mengizinkan, saya fikir tidak ada masalah untuk menambah Pemberian Khas kepada Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Jemaah Haji Parlimen Sepanggar di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar, di sini, hari ini.
Mengulas perbahasan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini, beliau berkata kerajaan mengambil maklum pandangan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang membangkitkan isu tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan daripada negeri itu.
Katanya, perkara berkenaan turut dibincangkan di peringkat Kabinet Persekutuan dan keputusan mengenainya akan diputuskan selepas penelitian menyeluruh.
“Kita mendengar dan meneliti perkara ini, malah saya sendiri sudah berbincang dengan YAB Perdana Menteri untuk memaklumkan bahawa isu ini hangat dibincangkan dalam sidang DUN.
“Perkara ini juga dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu lalu dan Kabinet akan membuat keputusan berhubung perkara ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mustapha turut menasihatkan bakal jemaah haji supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk Lembaga Tabung Haji dan kedutaan Malaysia di luar negara berikutan situasi keselamatan di Timur Tengah yang tidak menentu.
Beliau berkata, seramai 55 jemaah haji dari Parlimen Sepanggar dijadual berlepas ke Tanah Suci pada 11 Mei ini.
