Dua motosikal disita, 8 saman dikeluarkan dalam Operasi Samseng Jalanan

PENAMPANG: Dua motosikal disita manakala lapan saman dikeluarkan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, awal pagi tadi. 

Operasi bermula jam 11 malam hingga 3 pagi itu diketuai Ketua BSPT Penampang, Inspektor Rozami Hj Ahmad dengan tumpuan di Jalan Pintas Penampang serta Jalan Papar-Kota Kinabalu.

Sepanjang operasi, sembilan kenderaan diperiksa membabitkan lima motokar dan empat motosikal, selain 13 individu turut diperiksa.

Hasil pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan, menyebabkan lapan saman dikeluarkan kepada pesalah trafik.

Dalam masa sama, dua motosikal disita mengikut Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas didapati melakukan pengubahsuaian berlebihan dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan secara berkala bagi membanteras kegiatan lumba haram.

“Polis memandang serius aktiviti samseng jalanan yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Kami akan terus mempergiat operasi bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihatkan golongan remaja dan penunggang motosikal supaya tidak terlibat dalam aktiviti lumba haram yang boleh mengundang kemalangan maut.

Katanya, pihak polis komited dalam memastikan ketenteraman awam serta keselamatan jalan raya terus terjamin.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama