TAWAU: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila melecur di tangan kiri selepas sederetan kedai runcit di Kampung Titingan, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.12 pagi itu, sebanyak 10 daripada 12 pintu kedai jenis tidak kekal dilaporkan terbakar dengan tahap kemusnahan dianggarkan mencecah 80 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.20 pagi dan mendapati api sedang marak membakar sederetan kedai berkeluasan kira-kira 300 x 60 kaki.
“Kebakaran membabitkan 12 pintu kedai dan sebanyak 10 daripadanya musnah terbakar, manakala dua lagi berjaya diselamatkan daripada dijilat api.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan empat pancutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sumber air diperoleh daripada jentera tangki bomba dan pili bomba berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, seorang wanita dikenali sebagai Ruaini Arsi, 40, mengalami kecederaan melecur di bahagian pergelangan tangan kiri ketika kejadian.
Jemishin berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.39 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.12 pagi.
