KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, didapati bersalah dan disabitkan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, hari ini.
Keputusan itu dibuat Hakim Abu Bakar Manat selepas mendapati tertuduh bersalah di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001 kerana memiliki harta yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bagaimanapun, mahkamah melepas dan membebaskan isterinya, Fauziah Piut, 61, serta bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 72, daripada semua pertuduhan selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.
Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili pasukan peguam diketuai Datuk Ansari Abdullah, manakala Lim diwakili Datuk Tan Hock Chuan bersama pasukannya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat dan Haresh Prakash Somiah.
Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah selepas didakwa pada 28 Disember 2016.
Berita selanjutnya akan menyusul.
