UPKO mohon sertai GRS

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini secara rasmi mengemukakan permohonan untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti komponen.

Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, permohonan itu disampaikan sendiri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS dalam satu pertemuan di sini, hari ini.

Menurutnya, langkah itu dibuat bagi memperkukuh kerjasama serta penyatuan parti-parti tempatan Sabah demi masa depan negeri berkenaan.

“UPKO mahu menyumbang kepada penyatuan dan kerjasama parti-parti tempatan Sabah bagi memperkukuh usaha membangunkan masa depan Sabah serta memperjuangkan hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ewon berkata, perjuangan 'Sabah First' yang dibawa UPKO selari dengan aspirasi GRS menerusi Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Katanya, kerjasama lebih erat antara parti tempatan penting bagi memastikan agenda pembangunan serta hak Sabah terus diperkasa.

“Wawasan Sabah First yang diperjuangkan oleh UPKO adalah bersesuaian dengan perjuangan GRS melalui Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 yang mesti diperkukuh melalui kerjasama lebih erat dan penyatuan parti-parti tempatan Sabah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa keputusan memohon menyertai GRS dibuat selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO pada 25 Mei lalu yang sebulat suara bersetuju dengan cadangan berkenaan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama