Spesies tumbuhan misteri Ardisia condensiflora dirungkai penyelidik UMS

KOTA KINABALU: Penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mengesahkan penemuan spesies tumbuhan baharu yang sebelum ini dianggap misteri selepas spesimen itu tersimpan tanpa identiti di herbarium sejak ditemukan di Taman Bukit Tawau pada 2014.

Spesies baharu dikenali sebagai Ardisia condensiflora itu diterbitkan secara rasmi pada 26 Mei lalu dalam jurnal taksonomi botani antarabangsa, Phytotaxa (Vol. 758, No. 3).

Penemuan dan pengesahan spesies tersebut dilakukan penyelidik Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP), UMS, Dr. Avelinah Julius bersama Dr. Timothy M.A. Utteridge dari Singapore Botanic Gardens dan IBTP, UMS.

Menurut kenyataan IBTP, spesies berkenaan ditemukan di kawasan hutan dipterokarpa pamah campuran yang teduh serta di sepanjang tebing sungai dalam kawasan perlindungan Taman Bukit Tawau.

Katanya, kajian taksonomi dan herbarium secara mendalam dijalankan menggunakan spesimen yang dipinjam daripada Herbarium Taman Sabah bagi mengesahkan status saintifik tumbuhan tersebut.

“Proses ini membuktikan kepentingan koleksi herbarium dan kerjasama institusi secara berterusan dalam usaha merekodkan biodiversiti yang masih tersembunyi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hasil kajian mendapati Ardisia condensiflora setakat ini hanya ditemui di Taman Bukit Tawau sekali gus menjadikannya spesies endemik Sabah.

Berdasarkan hanya dua rekod koleksi yang ditemui, spesies nadir itu dinilai secara awal sebagai Rentan (Vulnerable – VU D2) mengikut kriteria Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) berikutan habitatnya yang sangat terhad.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, penemuan itu membuktikan hutan Sabah masih menyimpan khazanah biodiversiti yang belum diterokai sepenuhnya.

“Penemuan seperti ini membuktikan masih banyak lagi yang perlu diterokai, didokumentasikan dan dilindungi,” katanya.

Sementara itu, Dr. Avelinah berkata penemuan tersebut menjadi peringatan bahawa Borneo masih menyimpan banyak spesies yang belum direkodkan oleh sains.

Menurutnya, penerokaan saintifik, penyelidikan herbarium dan usaha pemuliharaan berterusan amat penting bagi memastikan spesies-spesies tersebut tidak pupus sebelum sempat dikenali.

Penerbitan berkenaan adalah hasil kerjasama melalui Surat Niat (LoI) antara UMS dan Singapore Botanic Gardens serta sokongan penyelidikan berterusan daripada Taman Sabah menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bersama IBTP, UMS.

Untuk rekod, sejak 2017, Dr. Avelinah telah menyumbang kepada penemuan dan pengesahan sekurang-kurangnya lima spesies baharu Ardisia di rantau ini.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama