Lelaki warga asing lemas ketika tarik pasir sunga

KOTA BELUD: Seorang lelaki warga asing ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan bot penarik di Kampung Paka-Paka, di sini, semalam.

Mangsa, Vinsensius Sare Tukan, 42, ditemukan oleh pasukan penyelamat pada jam 11.20 pagi tadi selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.58 malam semalam.

Menurutnya, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai kira-kira jam 6 petang ketika melakukan kerja menarik pasir menggunakan bot penarik.

“Operasi SAR disambung semula pada jam 8 pagi tadi bersama agensi penyelamat lain di lokasi terakhir mangsa dipercayai jatuh.

“Kaedah pencarian dilakukan menggunakan teknik water surface search and rescue di kawasan persisiran sungai,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, operasi membabitkan enam pasukan pencarian termasuk anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Kudat dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Katanya, pasukan bomba turut memasang pukat sejauh 500 meter dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) hingga ke muara sungai Kuala Abai bagi membantu operasi pencarian.

“Pada jam 10.50 pagi, Unit PPDA menjalankan operasi selaman di sekitar lokasi mangsa dilaporkan jatuh sebelum mayat mangsa berjaya ditemukan pada kedalaman kira-kira lapan meter,” katanya.

Elge berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama