UMS lahirkan lebih 100,000 alumni profesional, pakar bertaraf nasional dan antarabangsa

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melahirkan lebih 100,000 alumni yang kini mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang profesional di peringkat nasional dan antarabangsa.

Naib Canselor UMS, Datuk Prof Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pencapaian itu membuktikan kemampuan UMS dalam melahirkan graduan berkualiti serta menjadi tenaga pakar yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Menurutnya, ramai alumni UMS kini kembali berkhidmat sebagai tenaga pengajar di universiti itu selain menyumbang kepakaran di institusi pengajian tinggi lain dalam dan luar negara.

“Alumni merupakan aset penting universiti dan menjadi bukti kejayaan UMS dalam melahirkan pemimpin masyarakat yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai kepimpinan, adab dan kemanusiaan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Alumni Universiti Malaysia Sabah di sini, hari ini. 

Program yang menghimpunkan alumni, pentadbiran universiti dan pimpinan mahasiswa itu berlangsung dalam suasana harmoni serta penuh semangat kekeluargaan.

Dalam pada itu, Kasim berkata, UMS komited untuk terus melahirkan graduan seimbang dari sudut akademik, kepimpinan dan nilai kemanusiaan selaras dengan aspirasi 'Sabah Maju Jaya'.

Beliau turut menyeru alumni agar terus menyumbang idea, pengalaman dan jaringan profesional demi memperkukuhkan pembangunan universiti pada masa hadapan.

Katanya, semangat kebersamaan antara alumni dan warga universiti perlu terus diperkasakan bagi memastikan identiti serta kecemerlangan UMS terus dipertahankan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama