![]() |
| Armizan (dua dari kanan) ketika mengambil gambar kenangan pada senarai SHMMP di Perkarangan Pekan Kundasang, di sini. |
Menterinya, Armizan Mohd Ali berkata, bagi Pesta Kaamatan di Sabah, dua barangan baharu yang ditambah ialah halia tua import dan ubi kentang import dari China.
“Jumlah barangan yang disenaraikan meningkat kepada 12 berbanding 10 barangan bagi negeri Sabah dan Sarawak pada tahun lalu melibatkan 17 barangan secara keseluruhannya.
“Tempoh pelaksanaan skim ini ditetapkan dengan mengambil kira kepentingan pengguna dan komuniti peniaga supaya pengguna dapat menikmati harga berpatutan manakala peniaga tidak tertekan dengan tempoh pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media sempena pengumuman pelaksanaan SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 di Perkarangan Pekan Kundasang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri I, Datuk Seri Panglima Joachim Gunsalam.
Menurutnya, skim berkenaan akan dilaksanakan selama sembilan hari bermula 27 Mei hingga 4 Jun 2026 membabitkan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Antara barangan yang terlibat ialah babi hidup, daging babi, daging kerbau import dari India, kepak ayam, cili kering keriting, bawang merah kecil India, bawang putih China dan bawang kuning besar.
“Bagi WP Labuan pula, sebanyak 11 jenis barangan disenaraikan termasuk daging babi, kepak ayam, cili kering keriting, bawang dan ubi kentang import,” jelasnya.
Sementara itu, bagi SHMMP Hari Gawai 2026 di Sarawak, sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 11 pada tahun lalu dengan tambahan satu barangan baharu iaitu daging kerbau import dari India.
“Di Sarawak pula, jumlah barangan yang disenaraikan meningkat daripada 11 kepada 12 jenis barangan dengan penambahan daging kerbau import dari India,” ujar beliau.
Beliau memaklumkan, analisis perbandingan harga menunjukkan trend harga lebih stabil tahun ini apabila enam barangan di Sabah dan WP Labuan mencatatkan penurunan harga, manakala lima barangan di Sarawak turut mengalami penurunan harga.
Dalam pada itu, Armizan berkata pelaksanaan skim berkenaan akan dikuatkuasakan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].
Katanya, pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah bagi memantau pematuhan harga serta penggunaan label merah jambu untuk barangan terkawal.
“Peniaga yang menjual melebihi harga maksimum boleh dikenakan tindakan tegas termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000,” tambahnya.
Selain SHMMP, katanya, KPDN turut melaksanakan beberapa inisiatif di bawah Payung RAHMAH termasuk Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) dan Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.
