UMS - JBPM meterai kerjasama tangani kebakaran bateri litium

Pertukaran dokumen MOU antara UMS (Kasim) dan pihak JBPM (Hisham)


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalin kerjasama strategik dalam pembangunan inovasi teknologi pemadaman kebakaran bateri litium bagi menangani risiko kebakaran moden yang semakin kompleks.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani kedua-dua pihak di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif (BMLE), Bangunan Canselori UMS, pada Khamis.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh penyelidikan, pembaharuan dan pemindahan teknologi demi manfaat masyarakat serta negara.

“Kerjasama strategik ini membuka ruang luas kepada perkongsian kepakaran antara akademia dan agensi kerajaan dalam membangunkan penyelesaian berasaskan sains dan teknologi.

“UMS komited memastikan kolaborasi diterjemahkan melalui pelaksanaan program berimpak tinggi yang mampu memperkasa pembangunan modal insan dan keselamatan awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, MoU itu memberi fokus kepada pembangunan penyelidikan dan inovasi teknologi media pemadaman yang lebih efektif serta mampan.

“Cabaran kebombaan masa kini semakin kompleks dengan kemunculan risiko baharu seperti kebakaran bateri lithium-ion melibatkan kenderaan elektrik (EV), pusat data serta peranti teknologi hijau.

“Melalui kerjasama ini, kita akan meneroka kaedah pemadaman yang lebih berkesan bagi mendepani ancaman kebakaran moden secara lebih saintifik dan efisien,” ujarnya.

Beliau berkata, antara bidang kerjasama strategik yang turut digariskan termasuk pertukaran tenaga pengajar, latihan kepakaran dan kerjasama akademik dalam bidang kejuruteraan perlindungan kebakaran serta keselamatan.

Katanya, kedua-dua pihak turut memberi penekanan terhadap penggunaan teknologi baharu seperti robotik, pesawat tanpa pemandu (dron) dan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan operasi kebombaan.

MoU itu turut merangkumi pembangunan dokumen operasi seperti Pre-Incident Plan (PIP) dan Incident Action Plan (IAP) dalam usaha memperkukuh pemindahan teknologi kepada anggota JBPM, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, JBPM turut menganugerahkan projek penyelidikan bernilai RM100,000 kepada UMS bagi melaksanakan kajian berkaitan operasi pemadaman kebakaran tanah gambut dan keberkesanan pengoperasian di lapangan.

Kajian berkenaan dijangka membantu meningkatkan strategi pemadaman kebakaran secara lebih sistematik dan berkesan, khususnya dalam menangani kebakaran tanah gambut yang memberi impak besar kepada alam sekitar.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama