PITAS: Seorang pemandu lori berdepan detik cemas selepas lori 10 tan yang dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 40 kaki di Kampung Toliduson, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.42 petang itu, mangsa dilaporkan tersepit di bahagian tempat duduk pemandu sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, PBT II Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian kira-kira 22 kilometer dari balai.
“Setiba di lokasi, pasukan operasi mendapati sebuah lori 10 tan terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 40 kaki.
“Terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu dan operasi menyelamat dijalankan menggunakan peralatan ‘rescue tool’ dengan bantuan dua buah excavator,” katanya dalam satu kenyataan bomba, hari ini.
Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi berkenaan turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.37 malam,” tambahnya.
