KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) terus memperkukuh pembangunan bidang perubatan bagi penubuhan Advanced HUMS Endoscopic Training Centre.
Kerjasama strategik itu dilaksanakan menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Fujifilm (Malaysia) Sdn. Bhd.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, penubuhan pusat latihan berkenaan menjadi langkah penting dalam memperkukuh ekosistem pendidikan dan latihan perubatan selaras perkembangan teknologi kesihatan global.
“Melalui penubuhan Advanced HUMS Endoscopic Training Centre ini, UMS dan HUMS dapat memperkasakan latihan klinikal khususnya dalam bidang endoskopi menerusi sokongan kepakaran industri dan teknologi terkini.
“Pusat latihan ini juga akan menjadi platform penting untuk perkongsian ilmu, pembangunan profesional, penyelidikan bersama serta penganjuran bengkel dan seminar melibatkan tenaga akademik, pegawai perubatan dan pakar industri,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Pengarah HUMS, Profesor Madya Dr. Malehah Mohd Noh sempena Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara UMS dan Fujifilm (Malaysia) Sdn. Bhd. di Pusat Perubatan Primer HUMS, pada Selasa.
Hadir sama Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Nakasuji Hisaki dan Eksekutif Jualan Sistem Perubatan Fujifilm (Malaysia) Sdn. Bhd., Nor Afiqah Abd Rahim.
Menurut Kasim, kerjasama itu turut membuka peluang kepada kakitangan dan pegawai perubatan UMS serta HUMS menjalani latihan di luar negara selain membawa kepakaran antarabangsa ke universiti.
Dalam pada itu, HUMS turut menerima geran pendidikan bernilai RM40,000 bagi menyokong aktiviti akademik dan pembangunan profesional.
Fujifilm Malaysia juga akan meminjamkan peralatan Fujifilm 7000s Endoscopy Tower kepada HUMS bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran klinikal.
Sementara itu, Pengarah Urusan Fujifilm (Malaysia) Sdn. Bhd., Kensuke Aragane berkata, pusat latihan tersebut diwujudkan bagi menyokong HUMS sebagai hab kecemerlangan endoskopi di Sabah.
“Kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada latihan, bengkel dan aktiviti penyelidikan bagi memastikan teknologi perubatan terkini dapat dimanfaatkan secara optimum.
“Kami percaya inovasi hanya bermakna apabila ia dapat dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan, dan kerjasama ini mencerminkan komitmen tersebut,” katanya.
Kata beliau, kerjasama itu dilihat mampu memperkasa latihan klinikal dan pembangunan kepakaran endoskopi di Sabah menerusi penggunaan teknologi perubatan terkini serta jaringan antarabangsa.
