285 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal

LAHAD DATU: Seramai 285 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi program pemindahan tahanan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, semalam.

Semua tahanan dihantar pulang dari Depot Imigresen Papar dan Depot Imigresen Sandakan melalui Pelabuhan Lahad Datu menuju ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan feri komersial.

Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kumpulan PATI terbabit terdiri daripada 88 lelaki dewasa, 82 wanita dewasa, 60 kanak-kanak lelaki dan 55 kanak-kanak perempuan berusia antara lapan bulan hingga 77 tahun.

Menurutnya, semua kanak-kanak yang terbabit dalam program itu turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing.

“Sehingga hari ini, seramai 1,835 tahanan PATI warga Filipina sudah dipindahkan ke negara asal daripada keseluruhan 2,970 tahanan warga asing yang dihantar pulang.

“Kesemua tahanan terbabit sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang selain memiliki dokumen perjalanan sah untuk melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihak majikan disaran menyertai program pendataan digital warga asing menerusi Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin Negeri Sabah (S.W.I.M.S) yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Katanya, inisiatif itu bertujuan mengurus serta merekod keberadaan pekerja asing di Sabah selain membantu mengekang isu lambakan PATI dan penyalahgunaan dokumen.

Sitti Saleha berkata, JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen sah.

“Majikan boleh dikenakan tindakan tegas mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan jika didapati bersubahat atau melindungi PATI,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama