TONGOD: Kerajaan negeri terus
memberi tumpuan terhadap pembangunan kawasan pedalaman menerusi Pelan
Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), termasuk memastikan daerah Tongod tidak
tercicir daripada arus kemajuan negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri
Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sepanjang tahun lalu hingga pertengahan
tahun ini, Tongod merekodkan lonjakan signifikan dalam pembangunan
infrastruktur meliputi jaringan jalan raya, sektor ekonomi, pendidikan serta
potensi pelancongan lestari.
Katanya, kerajaan komited
memperkasakan rangkaian jalan raya yang menghubungkan Tongod dengan daerah luar
seperti Keningau, Telupid, Sandakan dan Tawau bagi meningkatkan mobiliti rakyat
serta merancakkan pertumbuhan ekonomi hiliran di kawasan itu.
“Tongod mempunyai kawasan tanah
yang luas dan berpotensi untuk pembangunan pertanian moden. Kerajaan negeri
turut menyediakan pelbagai insentif bagi membantu transformasi pertanian sara
diri kepada pertanian komersial yang mampu meningkatkan pendapatan isi rumah
rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika
berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod Tahun 2026 di Dewan
Terbuka Dataran Rakyat Tongod, pada Rabu.
Hajiji berkata, kerajaan negeri
turut memberi perhatian serius terhadap pembangunan modal insan khususnya dalam
kalangan generasi muda di kawasan pedalaman menerusi pelaburan besar dalam
bidang pendidikan dan latihan kemahiran.
“Kita mahu anak-anak muda di
Tongod merebut peluang melanjutkan pengajian termasuk dalam bidang kemahiran
kerana mereka adalah pemimpin masa depan negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, Tongod juga
memiliki khazanah alam yang amat bernilai termasuk Kawasan Konservasi Kanyon
Imbak yang berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai hab eko-pelancongan
lestari Sabah.
Katanya, kedudukan Tongod yang
berada di tengah-tengah geografi Sabah menjadikan daerah itu sebagai “The Heart
of Sabah” atau jantung negeri yang menyatukan wilayah utara, selatan, timur dan
barat Sabah.
Menurutnya, pembangunan sektor
pelancongan di Tongod juga perlu bergerak seiring dengan usaha memelihara
keaslian budaya masyarakat tempatan termasuk memperkasakan produk kraf tangan,
makanan tradisi dan inap desa yang diusahakan penduduk.
“Keharmonian antara pembangunan
dan pemuliharaan alam sekitar adalah kunci kepada kemampanan ekonomi Tongod
dalam jangka panjang,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai
masalah air dihadapi penduduk Tongod, Hajiji berkata masalah itu akan diatasi
menggunakan peruntukan yang disalurkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah
(KKDW) kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan projek Bekalan Air Luar Bandar
(BALB).
Katanya, kuasa melaksanakan
projek itu sudah diturunkan kepada kerajaan negeri dan bagi tahun ini lebih RM4
bilion disalurkan oleh KKDW untuk tujuan itu.
"Pada April lalu, kerajaan
Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menyerahkan kuasa
kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan projek Bekalan Air dengan peruntukan
lebih RM4 bilion dan saya berharap daerah Tongod juga dapat manfaat.
"Inilah yang kita selalu
bincang dengan kerajaan Persekutuan, kalau kita berbincang secara berhemah dan
hormat-menghormati, maka banyak urusan yang dulu dikendali oleh Persekutuan
atau jabatannya di Sabah, tapi sejak lima tahun kerajaan Gabungan Rakyat Sabah
(GRS) yang saya pimpin ini, sudah banyak kuasa diturunkan kepada negeri,
antaranya ialah bekalan air luar bandar, termasuk di Tongod," katanya.
Hajiji menegaskan, semangat
kerjasama negeri dan Persekutuan mesti diteruskan tanpa meminggirkan
kepentingan Sabah, selain pada masa yang sama tetap menjaga kepentingan
Malaysia sebagai negara.
"Jangan kerana menuntut hak
negeri, kita keruhkan hubungan dengan Persekutuan, sebaliknya kita kena
bangunkan juga negara kita Malaysia.
"Sabah adalah negeri yang
sama-sama membentuk Malaysia, jadi apa yang kita buat mesti dilakukan bersama
supaya Sabah boleh terus maju ke hadapan dengan kerjasama Persekutuan.
"Ini perlu kita buat, jangan
kita gaduh dengan Persekutuan, rugi kita kerana untuk bangunkan Sabah, kita
perlukan pertolongan Persekutuan," katanya.
Katanya, walaupun pada masa depan
peruntukan hasil Sabah meningkat, termasuk menerusi bayaran cukai bersih 40
peratus, Sabah masih memerlukan kerjasama Persekutuan untuk terus menjadi
negeri yang maju di Malaysia.
Mengenai sambutan Kaamatan,
Hajiji menegaskan bahawa sambutan itu bukan sahaja melambangkan kesyukuran
terhadap hasil tuaian, malah menjadi wadah penting memperkukuhkan perpaduan dan
keharmonian rakyat pelbagai kaum di Sabah selaras tema “Menuai Perpaduan,
Meraikan Keharmonian”.
Dalam pada itu, ketika ditanya
pemberita mengenai cadangan pembinaan pekan baharu Tongod, Ketua Menteri
berkata projek itu akan dilaksanakan sebuah syarikat swasta di tapak tanah
milik mereka sendiri.
"Satu syarikat swasta akan
membangunkan pekan baharu Tongod di tanah mereka sendiri, termasuk membina
pejabat kerajaan. Jadi, kita mengalu-alukan kerjasama di antara syarikat swasta
dan kerajaan. Dengan sokongan wakil rakyat di sini, usaha ini dijangka dapat
direalisasikan dalam tempoh yang terdekat ini," katanya.
Pada majlis itu, Ketua Menteri
turut menyerahkan sebanyak 239 geran tanah NT, dengan keluasan 583.38 hektar
(1,441.57 ekar) kepada rakyat Tongod. Daripada jumlah itu, sebanyak 199 geran
melibatkan keluasan 500.09 hektar (1235.75 ekar) adalah NT biasa. Manakala
geran deraf PANTAS melibatkan 7 mukim, sebanyak 40 geran dengan keluasan
sebanyak 83.29 hektar (205.82 ekar).
