LABUAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan menahan tiga individu termasuk seorang penjawat awam bagi membantu siasatan berhubung kes disyaki salah guna kuasa melibatkan projek di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Menurut sumber, penjawat awam berkenaan yang bertugas sebagai Penolong Jurutera Kanan di sebuah jabatan kerajaan di Labuan dipercayai menyalahgunakan kedudukannya dengan menggunakan lesen syarikat kontraktor utama untuk melantik syarikat subkontraktor milik ahli keluarganya.
Difahamkan, perbuatan itu melibatkan projek Pengurusan Fasiliti dan Penyelenggaraan di Kompleks Darul Kifayah MAIWP Labuan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.6 juta.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 iaitu kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk mendapatkan suapan.
Sementara itu, permohonan reman terhadap kesemua suspek telah dibenarkan oleh Majistret, Dr Melissa Chia.
Tiga individu yang dikenali sebagai Orang Yang Disyaki (OYDS) direman selama enam hari bermula 7 Mei hingga 12 Mei 2026 bagi membantu siasatan lanjut.
