TAWAU: Tindakan tidak bermoral seorang remaja lelaki menghantar gambar lucah kepada pelajar perempuan membawa padah apabila dia diberkas polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7 malam pada 29 April lalu ketika mangsa berusia 13 tahun berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Apas.
Menurutnya, mangsa menerima mesej daripada suspek melalui aplikasi TikTok sebelum remaja itu bertindak melampau.
“Suspek bukan sahaja menghantar mesej berunsur lucah, malah turut menghantar gambar kemaluan kepada mangsa sehingga menimbulkan ketakutan terhadap keselamatan dirinya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, bertindak atas laporan dibuat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menjalankan operasi sebelum menahan suspek berusia 15 tahun.
“Suspek ditahan kira-kira jam 1.10 petang di kawasan tepi Jalan Melati Off Jalan Kuhara.
“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kejadian itu dan hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk jenayah seksual termasuk yang dilakukan melalui media sosial dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu terbabit.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar sentiasa memantau penggunaan media sosial anak-anak bagi mengelakkan mereka terdedah kepada jenayah seksual siber.
