TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan 1,350 liter diesel dalam serbuan di sebuah bengkel terbiar di Jalan Damai, di sini, semalam.
Tangkapan dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah hasil serahan kes oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau kira-kira jam 7.30 malam.
Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, pihak berkuasa menemukan sebuah lori 8 tan yang telah diubah suai dengan tangki tambahan dipercayai digunakan untuk menyimpan bahan api berkenaan.
Turut dirampas beberapa peralatan termasuk tong drum besi, hos paip minyak dan mesin pam yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk 1,350 liter diesel itu dianggarkan berjumlah RM104,256.25.
KPDN Sabah memaklumkan, satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi siasatan lanjut.
Suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an kini ditahan bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, KPDN menegaskan pihaknya memandang serius sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.
“Kami akan terus memperkukuh kerjasama bersama agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan ini daripada terus berleluasa,” katanya.
