Tiga ditahan, syabu dan ketum dirampas dalam Op Tapis


LAHAD DATU: Tiga individu ditahan manakala dadah jenis syabu dan serbuk ketum dirampas dalam tiga serbuan berasingan menerusi Op Tapis dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, sejak Selasa lalu. 

Dalam operasi selama dua hari itu, polis turut merampas 5.17 gram syabu bernilai kira-kira RM515 dan 2,000 gram serbuk ketum.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, operasi dijalankan BSJND bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Lahad Datu di tiga lokasi berasingan.

Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan kira-kira jam 6 petang pada 12 Mei lalu selepas pasukan menahan sebuah Toyota Avanza putih di lampu isyarat Jalan Pantai.

“Hasil pemeriksaan menemui 5.09 gram syabu dan ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki berusia lingkungan 20-an positif Amphetamine dan Methamphetamine.

“Semakan lanjut turut mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, operasi diteruskan pada 13 Mei apabila sebuah Toyota Hilux ditahan di Kilometer 6 Jalan Lahad Datu-Tawau kira-kira jam 12 tengah hari.

Katanya, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui 2,000 gram serbuk ketum yang disembunyikan di dalam kotak jenama 7 Day Croissant.

“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing terhadap pemandu didapati negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Dzulbaharin berkata, pada hari sama kira-kira jam 3 petang, seorang lagi lelaki ditahan di belakang bangunan Econsave Jalan Reno Fajar kerana berkelakuan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan menemui 0.08 gram syabu di dalam poket seluar suspek dan ujian saringan mendapati dia turut positif Amphetamine dan Methamphetamine,” katanya.

Menurutnya, semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan pengedaran dadah dan ketum di daerah itu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti dadah diminta menyalurkannya kepada BSJND IPD Lahad Datu di talian 089-881255 dan kerahsiaan pemberi maklumat dijamin,” katanya. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama