![]() |
| Julita (tengah) menyaksikan penyerahan van daripada Nakasuji (empat kiri) kepada Hee (empat kanan) |
KOTA KINABALU: Sabah Cheshire Home and Services menerima sumbangan sebuah van Toyota Hiace mesra Orang Kurang Upaya (OKU) daripada Kerajaan Jepun bagi meningkatkan mobiliti dan akses penghuni pusat berkenaan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, Kerajaan Sabah menyambut baik sokongan berterusan Kerajaan Jepun terhadap golongan OKU di negeri ini.
“Van khas itu disumbangkan melalui Program Bantuan Geran Projek Keselamatan Manusia Peringkat Akar Umbi (GGP) Jepun bagi meningkatkan mobiliti dan akses penghuni Sabah Cheshire Home and Services di Sandakan.
“Van berkenaan akan membantu golongan OKU mendapatkan perkhidmatan kesihatan, program pemulihan, pendidikan serta menyertai aktiviti komuniti dengan lebih selamat dan selesa.
“Sumbangan ini bukan sekadar mengenai pengangkutan, tetapi mengenai maruah, kebebasan dan memastikan setiap individu mempunyai peluang untuk turut serta secara penuh dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika majlis penyerahan rasmi van tersebut di Sabah Cheshire Home and Services, pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu, Hisaki Nakasuji; Setiausaha Kedua merangkap Naib Konsul, Sugaya Kyohei; Presiden Sabah Cheshire Home and Services, Lawrence Hee Qui Shing serta Ketua Penolong Setiausaha KWKKR, Lee Chun Kiat.
Menurut Julita, kemudahan di Sandakan sebelum ini menggunakan van yang telah berusia lebih 25 tahun dan memerlukan penggantian segera.
Beliau turut menekankan isu aksesibiliti masih menjadi cabaran utama yang dihadapi ramai OKU khususnya untuk mendapatkan perkhidmatan penting dan menyertai program komuniti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Jepun serta Pejabat Konsular Jepun di Kota Kinabalu atas sokongan berterusan terhadap inisiatif kebajikan di Sabah.
“Ini merupakan sumbangan kenderaan ketiga daripada Kerajaan Jepun kepada Sabah Cheshire Home and Services, sekali gus mencerminkan hubungan persahabatan dan kerjasama kemanusiaan yang kukuh antara Sabah dan Jepun,” jelasnya.
Sumbangan terbaru bernilai kira-kira RM251,890 itu dilengkapi sistem lif kerusi roda dan dipercayai satu-satunya van mesra OKU dengan kemudahan sedemikian yang digunakan di Sandakan ketika ini.
Dalam pada itu, Julita turut memuji Sabah Cheshire Home and Services atas komitmen berterusan membantu golongan OKU melalui penjagaan kediaman, sokongan pendidikan, latihan kemahiran dan program kehidupan berdikari.
Katanya, Kerajaan Sabah kekal komited menyokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan kebajikan melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).
