KOTA KINABALU: Perjuangan menuntut hak Sabah kini terbukti bukan lagi sekadar retorik politik, sebaliknya telah diterjemahkan kepada pencapaian nyata di bawah pentadbiran kerajaan negeri hari ini.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, pendekatan kerajaan negeri yang lebih tersusun dan berfokus kepada hasil berjaya membawa kemajuan signifikan dalam pelbagai aspek, termasuk isu tuntutan 40 peratus hasil Persekutuan.
Menurutnya, walaupun ada pihak khususnya pembangkang yang terus lantang bersuara dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), rakyat Sabah kini semakin matang dalam menilai antara retorik dan pencapaian sebenar.
“Ketika diberi peluang mentadbir antara 2018 hingga 2020, mereka hanya mampu memperoleh kira-kira RM53.4 juta sebagai pemberian khas Persekutuan pada tahun 2019.
“Namun hari ini, di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor, jumlah pemberian khas interim meningkat kepada RM600 juta, satu lonjakan yang jelas menunjukkan keberkesanan pendekatan kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azrul berkata, kejayaan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil rundingan berterusan serta dasar yang jelas dalam memperjuangkan hak negeri.
Beliau berkata, kedudukan Sabah juga semakin kukuh apabila wakil kerajaan negeri kini terlibat dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), sekali gus memastikan suara dan kepentingan negeri diambil kira dalam soal percukaian Persekutuan.
“Kerajaan negeri turut tegas dalam menuntut hasil cukai yang tidak dipertikai supaya dibayar pada tahun semasa, melibatkan kutipan kira-kira RM3.019 bilion melalui LHDN dan Kastam, sementara menunggu penyelesaian rayuan serta formula bagi tahun-tahun terdahulu,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, momentum perjuangan hak Sabah turut diperluaskan ke sektor strategik seperti tenaga serta industri minyak dan gas.
Menurutnya, langkah penurunan kuasa dalam sektor tenaga memberi ruang lebih besar kepada Sabah menentukan hala tuju pembangunan sendiri, manakala pelaksanaan perjanjian kerjasama komersial serta perkembangan syarikat berkaitan negeri memperkukuh penglibatan Sabah dalam industri berkenaan.
“Semua ini membuktikan bahawa perjuangan hak Sabah hari ini dilaksanakan melalui tindakan, bukan sekadar kenyataan.
“Ia melibatkan rundingan berterusan, pelaksanaan dasar yang konsisten serta komitmen tinggi untuk memastikan manfaatnya dirasai rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Azrul menegaskan bahawa perbezaan antara kerajaan hari ini dan pihak lain amat ketara, apabila kejayaan tidak lagi diukur melalui siapa paling lantang bersuara, sebaliknya siapa yang benar-benar mampu membawa hasil kepada negeri dan rakyat Sabah.
