Lelaki parah dalam kemalangan tiga kenderaan di Ranau


RANAU: Seorang lelaki cedera parah selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Ranau-Telupid, Kampung Tanah Merah, di sini, petang semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, kemalangan membabitkan sebuah van, sebuah Toyota Veloz dan lori treler.


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum sepasukan enam anggota bersama jentera dari BBP Ranau digerakkan ke lokasi.


“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.22 petang selepas menempuh jarak kira-kira 11 kilometer.


“Setibanya di lokasi, didapati terdapat seorang mangsa lelaki berusia 51 tahun tersepit di dalam kenderaan van,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’ bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.


“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dihantar ke Hospital Ranau menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.


“Manakala, mangsa yang berada di dalam Toyota Veloz dan lori treler dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.


Rantey berkata, pihak bomba turut memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.10 petang.


“Operasi berjalan lancar dan terkawal dengan kekuatan enam anggota bersama dua jentera,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama