DUN Sabah lulus empat RUU hari ini

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan empat Rang Undang-Undang (RUU) yang meliputi Hari Kelepasan (Pindaan), Pengangkatan (Pindaan), Pengurusan Bangunan dan Tanah (Hakmilik Subsidiari). 

RUU berkenaan diluluskan oleh Speaker DUN Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya selepas dibahaskan dan mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai ketika membentangkan RUU Hari Kelepasan (Pindaan) 2026 yang bertujuan bagi memperjelaskan pemberian cuti umum apabila berlaku pertindihan pada hari Ahad.

Pindaan terhadap subseksyen 3(3) itu dibuat untuk menutup kelompongan undang-undang sedia ada selain memastikan tafsiran yang lebih jelas, konsisten dan tidak mengelirukan dalam pelaksanaannya. 

“Pindaan ini adalah perlu bagi memastikan tafsiran yang jelas dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam pelaksanaan hari kelepasan,” katanya. 

Menurutnya, melalui pindaan tersebut, jika cuti gantian bertindih dengan satu lagi hari kelepasan am pada hari Ahad, ia akan secara automatik dipindahkan ke hari berikutnya. 

“Langkah ini memastikan pelaksanaan hari kelepasan gantian dibuat secara teratur dan konsisten, sekali gus memberi kejelasan kepada penjawat awam, institusi serta masyarakat umum,” katanya ketika membentangkan RUU pertama itu pada persidangan DUN, di sini, hari ini. 

Sementara itu, RUU Pengangkatan (Pindaan) 2026 dibentangkan oleh Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan  Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, kerajaan negeri akan meminda Ordinan Pengangkatan 1960 bagi memperjelaskan bahawa undang-undang itu tidak terpakai kepada orang Islam di Sabah.

Pindaan ini susulan kelulusan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2024 yang telah berkuat kuasa pada 26 Disember 2024, yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengurus dan mengeluarkan perintah pengangkatan anak dalam kalangan umat Islam. 

“Ia memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk mengeluarkan peruntukan khusus termasuk syarat pengangkatan, proses persetujuan serta sekatan dalam menarik balik persetujuan,”katanya. 

Menurutnya, pindaan terhadap Seksyen 23 Ordinan Pengangkatan 1960 perlu dibuat bagi membolehkan enakmen baharu itu dilaksanakan sepenuhnya. 

RUU Pengurusan Bangunan 2026 pula dibentangkan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif. 

Beliau berkata, RUU berkenaan bertujuan bagi menggubal Rang Undang-Undang Enakmen Pengurusan Bangunan 2026 untuk memperbaiki sistem pengurusan bangunan berstrata di Sabah.

“Enakmen ini diperkenalkan kerana undang-undang sedia ada tidak lagi mencukupi.

 “Keadaan ini berpunca daripada keterbatasan perundangan sedia ada yang tidak lagi selaras dengan keperluan pembangunan semasa,” katanya. 

Akibatnya, timbul pelbagai masalah seperti kelewatan pengurusan, kurang ketelusan kewangan dan penyelenggaraan bangunan yang tidak terurus. 

“Kelemahan ini menjejaskan kecekapan pengurusan bangunan serta memberi impak kepada kesejahteraan rakyat dan nilai hartanah. 

“Matlamat utama adalah untuk melindungi kepentingan pemilik dan memastikan pengurusan bangunan dilaksanakan secara lebih efisien dan mampan,”katanya ketika membentangkan RUU itu, hari ini. 

Dalam pada itu, RUU Tanah (Hakmilik Subsidiari) 2026 yang dibentangkan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih memaklumkan bahawa RUU ini bagi mewujudkan kerangka perundangan lebih menyeluruh, moden dan praktikal untuk memudahkan pecah bahagi bangunan atau tanah kepada petak di bawah hakmilik subsidiari, serta perkara berkaitan.

RUU ini menetapkan pemilik perlu memohon pecah bahagi dalam tempoh tertentu serta memperketat dokumentasi bagi mengelakkan pertikaian. 

“Pendekatan ini bertujuan meningkatkan ketepatan data dan memastikan proses lebih teratur,”kata beliau. 

RUU ini turut memperkenalkan sistem pendaftaran elektronik dan penguatkuasaan lebih tegas, termasuk denda tinggi bagi ketidakpatuhan yang dijangka meningkatkan kecekapan pentadbiran, ketelusan serta melindungi hak pemilik hartanah. 

“RUU ini adalah suatu reformasi undang-undang yang signifikan untuk Sabah dan dijangka membantu mempercepat dan memperkemas pengurusan hakmilik subsidiari demi kepentingan kerajaan, industri pembangunan hartanah, institusi kewangan dan para pembeli,” tambahnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama