Tawau terus jadi sasaran scammer, 28 lagi warga asing ditahan

TAWAU: Belum reda kes penahanan 80 individu dipercayai terbabit sindiket penipuan dalam talian awal April lalu, Tawau sekali lagi digemparkan dengan kegiatan sama apabila 28 lagi warga asing diberkas dalam serbuan di empat banglo mewah di Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas, di sini.

Dalam operasi kira-kira jam 9.20 pagi itu, polis menahan 26 lelaki dan dua wanita warga asing berusia antara 21 hingga 51 tahun yang dipercayai menjalankan penipuan pelaburan saham secara dalam talian.

Serbuan dijalankan pasukan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Strike Team dan Task Force Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan empat banglo mewah terbabit sebagai pusat operasi selain tempat penginapan dan latihan ahli kumpulan.

Polis turut merampas 33 telefon bimbit, tiga komputer riba serta dua modem internet yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan.

Siasatan awal mendapati sindiket ini menyasarkan warga Korea Selatan melalui platform media sosial seperti Telegram, WhatsApp dan KakaoTalk dengan menawarkan pelaburan saham palsu. 

Hari ini, semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.

Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin membenarkan semua suspek direman selama empat hari sehingga Isnin depan.

Pada 8 April lalu, Sayang Sabah melaporkan seramai 80 individu dipercayai ahli sindiket penipuan dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah resort di Jalan Air Panas, Tawau.

Dalam operasi itu, sindiket terbabit dipercayai menyamar sebagai anggota polis China untuk memperdaya mangsa warga Amerika Syarikat berketurunan Cina.

Kes berkenaan turut menyaksikan rampasan pelbagai peralatan termasuk telefon bimbit, komputer, skrip penipuan dan pakaian seragam polis China.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama