SANDAKAN: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah menggesa kerajaan Persekutuan menyegerakan pembayaran hak 40 peratus Sabah bagi tahun semasa yang kini dianggarkan mencecah RM3.019 bilion melibatkan hasil cukai kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Pemangku Ketua Pemudanya, Datuk Azrul Ibrahim berkata, tuntutan berkenaan kini menjadi antara keutamaan selepas mendapat perhatian meluas susulan keputusan mahkamah yang memihak kepada Sabah.
Menurutnya, kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turut menunjukkan komitmen konsisten dalam memperjuangkan hak Sabah termasuk peningkatan ketara bayaran interim pemberian khas sejak beberapa tahun lalu.
“Jika sebelum ini Sabah hanya menerima sekitar RM26.7 juta, jumlah itu berjaya dinaikkan kepada RM125.6 juta, kemudian meningkat kepada RM300 juta pada 2023 dan seterusnya RM600 juta pada 2025.
“Ini bukti jelas kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan hak Sabah tidak lagi dipinggirkan,” katanya ketika Jelajah Pemuda Gagasan Rakyat Zon Sandakan.
Program tersebut menghimpunkan tujuh bahagian iaitu Sekong, Karamunting, Sungai Manila, Sungai Sibuga, Gum-Gum, Tanjung Papat dan Elopura sebagai platform menyampaikan perkembangan parti serta isu semasa kepada akar umbi.
Mengulas lanjut, Azrul berkata, kerajaan negeri kini mengambil langkah lebih tegas dengan mendesak kerajaan Persekutuan membayar pemberian khas 40 peratus bagi tahun semasa melibatkan hasil cukai yang tidak dipertikaikan.
“Anggaran 40 peratus bagi tahun semasa mencecah RM3.019 bilion melibatkan cukai kastam dan LHDN. Ini adalah hak Sabah yang perlu ditunaikan,” katanya.
Beliau berkata, dana tersebut amat penting bagi memperkasa pembangunan infrastruktur selain membantu menyelesaikan pelbagai isu asas rakyat yang berlarutan sekian lama.
Sehubungan itu, katanya, Pemuda Gagasan Rakyat menyeru seluruh jentera parti khususnya sayap Pemuda untuk terus bersama kerajaan negeri dalam memperjuangkan hak Sabah.
“Pemuda akan terus menjadi tulang belakang parti dalam memastikan suara rakyat Sabah didengar dan hak negeri ini terus dipertahankan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan parti sedang melaksanakan penstrukturan semula serta pindaan perlembagaan melibatkan struktur bahagian sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan gerak kerja parti lebih tersusun selain penyampaian maklumat kepada akar umbi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
