“Saya tidak nampak jelas, tapi saya mahu berjaya” - Alexzander raih 8A SPM

Alexzander (kanan) ketika ditemui pemberita selepas menerima anugerah kecemerlangan SPM 2025, di sini, hari ini. 

KOTA KINABALU : Alexzander Dinus membuktikan masalah penglihatan bukan penghalang untuk berjaya apabila meraih keputusan 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) walaupun berdepan kesukaran membaca dan melihat tulisan dengan jelas.

Pelajar berusia 18 tahun dari Kampung Kepakaan Biah, keningau itu berkata, dia mengalami masalah saraf pada bahagian mata sejak kecil sehingga menjejaskan penglihatannya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia sukar melihat tulisan selain kadang-kadang melihat objek menjadi tiga.

“Kalau cikgu tulis di papan putih, kadang-kadang saya tidak nampak. Ada juga masa saya minta kawan atau cikgu bacakan untuk saya.

“Memang susah, tapi cikgu-cikgu banyak bantu saya sampai saya faham terutama dalam subjek Matematik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025.

Katanya, dia banyak bergantung kepada bantuan guru dan rakan-rakan sepanjang sesi pembelajaran di sekolah.

Alexzander turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti ChatGPT yang mempunyai fungsi suara bagi membantunya belajar.

“Saya guna AI yang ada voice sebab kalau baca sendiri memang susah untuk saya nampak,” jelasnya.

Walaupun berdepan kekurangan, Alexzander tetap menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) dan menjadi seorang guru pada masa depan.

“Saya mahu jadi guru dan bantu lahirkan pelajar berjaya.

“Kita mungkin ada kekurangan, tapi tidak semestinya lemah,” katanya.

Anak sulung daripada lima beradik itu dibesarkan dalam keluarga petani sawit dan menjadi satu-satunya anak dalam keluarga yang mengalami masalah penglihatan tersebut.

Sementara itu, bapanya, Panis Guntalib, 52, berkata mereka sudah mengetahui keadaan Alexzander sejak masih kecil lagi.

Menurutnya, pelbagai usaha dilakukan termasuk mendapatkan rawatan dan pandangan pakar di Sabah serta Brunei.

“Kami pernah bawa dia jumpa pakar di Kota Kinabalu dan Brunei. Pakar beritahu ada saraf pada bahagian mata dan otak yang tidak bersambung.

“Selepas darjah enam, kami terima keadaan itu sebagai takdir,” ujar beliau.

Panis berkata, walaupun Alexzander bukan anak kandungnya, dia tetap menjaga dan membesarkannya sejak kecil seperti anak sendiri.

“Saya ambil dia sejak kecil lagi dan anggap dia macam anak sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua guru yang banyak membantu Alexzander sepanjang tempoh persekolahan termasuk ketika berada di sekolah rendah dan menengah.

“Saya sangat berterima kasih kepada guru-guru kerana banyak membantu dan memberi semangat kepada dia,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak senasib supaya tidak mudah berputus asa dan terus memberi sokongan kepada anak-anak mereka.

“Jangan terlalu kongkong atau rendahkan mereka. Beri semangat supaya mereka terus belajar dan yakin dengan diri sendiri,” tambahnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama