Syabu bernilai RM16 juta disorok dalam kereta terpakai tumpas di Tawau


TAWAU: Syabu bernilai lebih RM16 juta yang disorok dalam ruang tersembunyi beberapa kereta terpakai berjaya dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam operasi khas di daerah ini, sekali gus menumpaskan kegiatan sindiket pengedaran dadah yang aktif sejak awal tahun ini.

Dalam operasi Op Hymenoptera pada 21 April dan 1 Mei lalu, polis merampas 323.91 kilogram syabu serta 0.98 liter cecair disyaki fentanyl dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM16.34 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dua lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 52 tahun turut ditahan hasil serbuan dijalankan dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di Batu 15, Jalan Apas apabila polis menahan dua suspek bersama sebuah Toyota Harrier.

“Hasil pemeriksaan menemukan 128 paket plastik lutsinar mengandungi syabu seberat 130.60 kilogram yang disembunyikan dalam kenderaan terbabit.

“Susulan itu, polis menyerbu dua lagi kenderaan iaitu Nissan Sylphy dan Toyota Camry di Bandar Sri Indah, Batu 10, Jalan Apas,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas Nissan Sylphy menemukan 85 bungkusan syabu seberat 90.41 kilogram selain 488 bungkusan cecair disyaki fentanyl sebanyak 0.98 liter.

Katanya, Toyota Camry yang diperiksa pula didapati menyimpan 99 bungkusan syabu seberat 102.90 kilogram di ruang khas yang diubah suai dalam kenderaan berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati sindiket ini menggunakan kereta terpakai sebagai medium penghantaran sebelum dadah disembunyikan dalam ruang khas bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Rampasan ini dipercayai mampu menjejaskan kira-kira 1.58 juta penagih jika berjaya dipasarkan,” katanya.

Menurutnya, suspek pertama dipercayai bertindak sebagai penghantar atau transporter manakala seorang lagi disyaki ahli sindiket pengedaran dadah terbabit.

“Hasil semakan mendapati suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan lima kes dadah dan satu kes jenayah, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod kesalahan jenayah.

“Kedua-dua suspek sudah didakwa di mahkamah semalam,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menyita beberapa aset termasuk sebuah Volkswagen Passat, motosikal Yamaha Y16ZR dan wang tunai RM8,000 dengan nilai keseluruhan RM34,000.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama