Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang berada di rumah bersama anak saudaranya dikatakan diserang suspek yang datang untuk menuntut baki hutang kerja membaiki paip rumah.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa ketika itu sedang memasak di dapur sambil memegang sebilah pisau.
Menurutnya, suspek mendakwa mangsa mengeluarkan kata-kata kasar sehingga menyebabkan lelaki terbabit bertindak agresif dengan merampas pisau daripada tangan mangsa sebelum mengelar leher wanita itu.
“Suspek turut menolak mangsa ke dinding tandas sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan leher sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk menerima rawatan lanjut.
“Pegawai perubatan mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil namun mengalami luka kelar di bahagian leher serta luka tetakan di bahagian kiri kepala.
"Pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama pegawai penyiasat turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan pada jam 5.50 petang hari sama.
“Suspek ditahan di kawasan semak tepi jalan Pekan Kinarut Lama, Papar hasil maklumat risikan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang.
“Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Sammy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan berita palsu yang boleh mengganggu siasatan polis," katanya
