![]() |
| Dua suspek ditahan reman tujuh hari selepas disyaki cuba merasuah pegawai JHL. Foto | SS |
TAWAU: Cubaan merasuah pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) bagi menukar sampel daging haiwan liar yang dirampas membawa padah apabila pemilik dan pengurus sebuah syarikat pelancongan direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Perintah reman sehingga 30 Mei terhadap kedua-dua suspek lelaki itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Berdasarkan keterangan kes, kedua-dua suspek dipercayai cuba menyogok pegawai JHL terbabit sebanyak RM50,000 sebagai balasan untuk menukar sampel daging haiwan yang dirampas di sebuah resort di Semporna pada 15 Mei lalu.
Sampel daging itu sebelum ini dirampas polis dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Tawau untuk siasatan lanjut kerana disyaki membabitkan spesies haiwan yang tersenarai di bawah Jadual 1 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.
Pengadu dikatakan menerima pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada suspek pada 19 Mei lalu yang menawarkan wang rasuah RM50,000 bagi tujuan berkenaan.
Dua hari kemudian, pengadu sekali lagi menerima pesanan daripada nombor sama untuk mengatur pertemuan di sebuah restoran di pusat bandar di sini bagi penyerahan wang rasuah terbabit.
Bertindak atas maklumat diterima, SPRM Tawau melancarkan operasi dikenali sebagai “Ops Seawind” sebelum menahan suspek pertama kira-kira jam 9.30 malam tadi selepas dipercayai menyerahkan wang tunai RM10,000 kepada pengadu di sebuah restoran di bandar ini.
Suspek kedua pula ditahan kira-kira jam 11.50 malam hari sama kerana disyaki bersubahat dalam penyerahan wang rasuah berkenaan.
Sementara itu, Penolong Kanan Penguasa SPRM Tawau, Jaffaruddin Shahari, dalam permohonan remannya memaklumkan siasatan belum dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam kerana beberapa saksi masih perlu dikenal pasti dan dirakam percakapan selain dokumen berkaitan siasatan sedang dikesan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
.png)