![]() |
| Joachim Gunsalam. |
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, program berkenaan menjadi ruang untuk meraikan keindahan budaya Sabah bukan hanya melalui pakaian tradisional dan kontemporari yang diperagakan, tetapi juga menerusi cerita, nilai dan semangat yang dibawa oleh setiap peserta Unduk Ngadau.
“Di sinilah kita meraikan keindahan budaya kita bukan hanya melalui pakaian tradisional dan kontemporari yang diperagakan, tetapi melalui cerita, nilai dan semangat yang dibawa oleh setiap peserta Unduk Ngadau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Sodop Unduk Ngadau Kaamatan 2026, di sini.
Menurut Joachim, Unduk Ngadau bukan sekadar simbol kecantikan luaran, tetapi turut melambangkan kebijaksanaan, keyakinan, kepimpinan, kesopanan dan kekuatan wanita Sabah masa kini.
Katanya, para peserta yang tampil pada pertandingan itu membawa harapan generasi muda yang bukan sahaja bangga dengan budaya sendiri, malah bersedia menjadi suara perpaduan dan inspirasi kepada masyarakat.
“Saya percaya dalam dunia moden yang sentiasa berubah, generasi muda memainkan peranan penting untuk memastikan warisan budaya kita terus relevan, dihormati dan diwariskan kepada generasi akan datang,” jelasnya.
Menurut beliau, Kaamatan bukan hanya milik satu kaum atau komuniti tertentu, tetapi menjadi perayaan seluruh rakyat Sabah yang meraikan perpaduan dan keharmonian.
Dalam pada itu, Joachim turut menghargai usaha pereka fesyen tempatan, artisan budaya dan penggiat seni kreatif yang terus mengetengahkan keindahan budaya Sabah melalui sentuhan moden dan inovatif.
“Usaha ini penting dalam membantu memelihara warisan budaya, malah membuka ruang kepada pembangunan industri kreatif dan ekonomi budaya di negeri ini,” ujar beliau.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada 53 peserta Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang disifatkan sebagai duta budaya dalam membawa identiti daerah masing-masing ke pentas negeri.
.png)