KOTA KINABALU: Program Sodop Piintutunan sempena Pesta Kaamatan bukan sahaja menjadi platform memperkenalkan finalis Unduk Ngadau Kaamatan 2026, malah mengetengahkan kreativiti pereka fesyen tempatan yang mengangkat elemen budaya masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) dalam rekaan kontemporari.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, keunikan rekaan yang dipersembahkan berjaya menggabungkan identiti tradisi dengan sentuhan moden tanpa menghilangkan nilai warisan asal masyarakat Sabah.
“Usaha sedemikian penting bagi memastikan seni dan budaya tradisional terus relevan serta dihargai generasi muda selain berpotensi diketengahkan ke peringkat antarabangsa.
“Sodop Piintutunan pada malam ini merupakan satu platform penting dalam memperkenalkan hasil kreativiti dan rekaan kontemporari daripada pereka fesyen tempatan Sabah.
“Keunikan rekaan yang dipersembahkan bukan sahaja menampilkan elemen moden dan elegan, tetapi turut diinspirasikan daripada pakaian tradisi masyarakat KDMR di negeri Sabah,” katanya ketika merasmikan program Sodop Piintutunan Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, di sini.
Beliau berkata, program berkenaan turut membuka ruang kepada pembangunan industri kreatif, seni budaya dan ekonomi kreatif di negeri ini.
Dalam pada itu, Joachim berkata pertandingan Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan kecantikan, tetapi membawa simbolik besar kepada masyarakat Sabah menerusi legenda Huminodun yang melambangkan pengorbanan, kasih sayang dan perpaduan.
Katanya, tema Kaamatan tahun ini, ‘Mongomot Pisompuruan, Mamaramai Piunungan’ atau ‘Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian’ amat bertepatan dengan masyarakat Sabah yang hidup dalam kepelbagaian kaum, agama dan budaya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur serta semua finalis yang mewakili daerah masing-masing dalam pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan 2026.
“Kerajaan Negeri Sabah akan terus komited menyokong usaha pemeliharaan budaya serta pembangunan industri kreatif budaya di negeri ini,” ujar beliau.
