![]() |
| Dyeneley (tengah) memenangi gelaran Randawi Tavantang Kaamatan 2026. |
Dyeneley Daud, 19, meraih gelaran juara Randawi Tavantang Kaamatan Peringkat Negeri Sabah dalam pertandingan yang berlangsung di Hongkod Koisaan KDCA pada malam Rabu.
Anak muda yang mewakili daerah Nabawan itu berkata, beliau melihat pertandingan itu sebagai medan besar untuk membawa seni dan budaya tempatan lebih dikenali masyarakat luar.
“Seperti yang saya nyatakan dalam manifesto saya, saya sedar platform Randawi Tavantang Kaamatan ini sangat besar dan berpengaruh.
“Jadi saya mahu menggunakan peluang ini untuk merealisasikan impian saya sebagai seorang penari.
“Saya ingin memartabatkan dan memperkasakan lagi tarian tradisional di Sabah supaya lebih dikenali oleh masyarakat luar,” katanya ketika ditemui media selepas dinobatkan sebagai juara RTK 2026, di sini.
Dyeneley turut meraih anugerah subsidiari Mister Intelligent dan Best Stage Performance tempat pertama sempena pertandingan itu.
Menurut pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya dalam bidang pendidikan muzik itu, perjalanan ke pentas akhir bukan sesuatu yang mudah kerana beliau terpaksa membahagikan masa antara pengajian dan persiapan pertandingan.
“Untuk peringkat daerah, saya mengurus sendiri busana dan tatarias sebelum dibantu ajk-ajk di peringkat negeri,” jelasnya.
Anak kelapan daripada sembilan beradik itu turut mengakui latar belakang keluarganya sebagai petani dan suri rumah menjadi sumber kekuatan sepanjang menyertai pertandingan tersebut.
Dalam pada itu, beliau berharap golongan muda yang ingin menyertai pertandingan tahunan itu tidak mudah berputus asa untuk mengejar impian terutama dalam bidang seni dan budaya.
“Kalau kita percaya pada diri sendiri dan ada matlamat yang jelas, kita boleh capai impian itu,” ujarnya.
Sementara itu, tempat kedua pertandingan dimenangi Bryan Niccolson Jacob mewakili Keningau, manakala Daniel Chrionie Taning dari Tamparuli meraih tempat ketiga.
Tempat keempat dimenangi Hassan Der Jafili (Kiulu), diikuti Kristern Olwen Jafili (Tuaran) di tempat kelima, Ian Steeve Dee Moses (Likas) di tempat keenam dan Handwanielly Allan (Ranau) di tempat ketujuh.
Randawi Tavantang Kaamatan merupakan pertandingan tahunan khusus untuk pemuda etnik Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) sempena sambutan Pesta Kaamatan bagi memartabatkan warisan dan kebudayaan Sabah.
Menurut laporan Sabah News, Dyeneley juga mempunyai latar belakang seni persembahan yang membanggakan di peringkat negeri dan antarabangsa.
Beliau pernah mencipta kejayaan dalam World Dance Festival Seoul, Korea dengan meraih Gold Solo, Gold Duo dan Silver Grouping, selain turut menyerlah dalam Dance World Cup Malaysia Qualifier 2023 dan 2026 menerusi beberapa kemenangan termasuk Gold Solo, Gold Duo Kontem serta pengiktirafan Best Solo Award Senior Category yang melayakkan beliau mewakili Malaysia ke Dublin.


