Sindiket urus MyKad palsu hampir RM20,000, sembilan termasuk warga asing ditahan

Dokumen-dokumen palsu yang digunakan untuk mendapatkan kad pengenalan Malaysia (MyKad). 


KOTA KINABALU: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kontinjen Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan urusan untuk mendapatkan kad pengenalan Malaysia (MyKad) palsu yang berjumlah hampir RM20,000, sekali gus menahan sembilan individu termasuk warga asing menerusi Op Pugo.

Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, hasil serbuan itu membawa kepada penahanan lima lelaki dan empat perempuan berusia antara 36 hingga 61 tahun yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan urusan mendapatkan MyKad secara tidak sah.

Katanya, operasi itu dijalankan antara 7 hingga 12 Mei lalu, sepasukan pegawai dan anggota JSJK bersama Bahagian Risikan Operasi IPD Sandakan dan Keningau menyerbu beberapa lokasi di Kota Kinabalu, Sandakan, Keningau dan Papar.

“Suspek terdiri daripada dua lelaki warga Malaysia, tiga lelaki warga Filipina, dua perempuan warga Malaysia dan dua perempuan warga Indonesia.

“Sindiket ini dipercayai menjalankan aktiviti penipuan berkaitan urusan mendapatkan kad pengenalan Malaysia dengan menyasarkan warga asing yang lahir di Sabah dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan kes bermula selepas seorang wanita berusia 30 tahun membuat laporan polis pada 13 Mac lalu mendakwa kerugian hampir RM20,000 akibat diperdaya suspek yang menjanjikan bantuan menguruskan permohonan kad pengenalan Malaysia.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun tidak pernah menerima kad pengenalan yang dijanjikan selepas pembayaran dibuat.

“Hasil semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tiada sebarang rekod permohonan kad pengenalan atas nama mangsa,” jelasnya. 


Jauteh berkata, polis turut merampas pelbagai peralatan dan dokumen dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan itu.

“Antara yang dirampas termasuk 85 dokumen permohonan MyKad, 54 salinan kad pengenalan, 45 salinan dokumen pemohon MyKad, 24 keping gambar pemohon dan 10 set dokumen bertulis Program Khas Penempatan.

“Turut dirampas ialah sembilan salinan sijil lahir, enam sijil lahir asal, tujuh salinan pasport pelbagai nama, tujuh telefon bimbit, lima keping kad pengenalan palsu, tiga cop JPN, tiga kereta, satu set komputer, sebuah pencetak dan dua stamp pad,” tambahnnya. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 170 Kanun Keseksaan serta Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penipuan, pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan identiti bagi mendapatkan dokumen pengenalan secara tidak sah.

“JSJK Sabah komited membanteras aktiviti penipuan dan pemalsuan dokumen yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman awam,” tegasnya. 


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama