Ejen pelancongan, kerani dipenjara dan didenda kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol

Feaddie Yap Tong Nei, 40, dan Sharifah Mahani Saidseh, 39, masing-masing dipenjara dan didenda oleh Mahkamah Majistret di sini, atas kesalahan memandu dibawah pengaruh alkohol. Foto | SS.




TAWAU : Dua individu termasuk seorang ejen pelancong dipenjara serta didenda keseluruhan RM26,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had dibenarkan.


Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Feaddie Yap Tong Nei, 40, dan Sharifah Mahani Saidseh, 39, selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020.


Feaddie yang bekerja sebagai ejen pelancong, dihukum penjara dua hari dan denda RM15,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda selain lesen memandunya digantung selama dua tahun berkuat kuasa dari tarikh sabitan hari ini.


Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati memandu di bawah pengaruh alkohol di Jalan Kuhara di sini pada 1.10 pagi, 16 Mei lalu dengab kandungan alkohol dalam badannya ialah 85 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml) darah, melebihi had ditetapkan iaitu 50 mg per 100 ml darah.


Sementara itu, Sharifah yang bekerja sebagai kerani dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM11,500 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda serta lesen memandunya turut digantung selama dua tahun bermula dari tarikh sabitan hari ini.


Wanita itu didakwa memandu sebuah Toyota Hilux di bawah pengaruh alkohol di Jalan Sim Hua Seng di sini pada 1.30 pagi, 26 April lalu dengan kandungan alkohol dalam badannya sebanyak 142 mg bagi setiap 100 ml darah, iaitu 92 mg melebihi had dibenarkan.


Feaddie diwakili peguam Jhasseny P Kang manakala Sharifah tidak diwakili peguam.


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee.




Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama