Sindiket Scam: 41 warga China 'hilang', waran tangkap dikeluarkan

Hanya 39 daripada 80 tertuduh disyaki ahli sindiket penipuan dalam talian yang hadir pada prosiding di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret di sini hari ini. Foto | SS.
 

TAWAU : Seramai 41 warga China yang sebelum ini diikat jamin atas pertuduhan pakatan jenayah dipercayai ‘hilang’ selepas gagal hadir pada prosiding di mahkamah hari ini.


Berikutan itu, Mahkamah Tinggi di sini mengeluarkan waran tangkap terhadap kesemua tertuduh yang gagal hadir ke prosiding sebutan dan permohonan semakan syarat jaminan berkaitan kes sindiket penipuan dalam talian.


Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos memutuskan demikian selepas hanya 39 daripada 80 tertuduh hadir pada prosiding berkenaan, manakala bakinya tidak dapat dikesan.


Sebelum ini, kesemua 41 tertuduh berkenaan turut gagal hadir pada prosiding 21 April lalu, dan ketidakhadiran mereka pada prosiding yang dijadualkan hari ini menimbulkan syak bahawa mereka dipercayai telah melarikan diri atau pulang ke negara asal.


Malah, penjamin kepada kesemua tertuduh juga gagal hadir untuk memberikan penjelasan berhubung kegagalan mereka mematuhi syarat jaminan.


Susulan itu, mahkamah turut memerintahkan wang jaminan kesemua tertuduh yang gagal hadir dibatal dan dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia selain waran tangkap dikeluarkan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil terhadap mereka.


Terdahulu, Mahkamah Tinggi pada 21 April lalu telah memperketat syarat jaminan terhadap 80 individu terbabit dengan mengarahkan pasport mereka ditahan serta mewajibkan mereka melapor diri secara berkala kepada pihak polis.


Tindakan itu dibuat susulan semakan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Majistret sebelum ini yang membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin selepas mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.


Kesemua tertuduh terdiri daripada 78 warga China termasuk empat wanita, selain masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos yang didakwa terbabit dalam sindiket berkenaan.


Dalam perkembangan sama, Mahkamah Majistret turut mengeluarkan waran tangkap terhadap semua tertuduh yang gagal hadir pada prosiding sebutan semula dan pengurusan pra-perbicaraan yang dijadualkan hari ini.


Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin kemudian menetapkan perbicaraan penuh kes berkenaan pada 12 hingga 16 Oktober depan.


Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif memaklumkan pihaknya telah menyerahkan dokumen kepada peguam yang mewakili 10 daripada tertuduh yang terlibat.


Beliau berkata, bagi tertuduh yang belum diwakili peguam, dokumen berkaitan akan diserahkan pada 29 Jun ini.





Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama