![]() |
| Jamawi (kanan) ketika berbincang dengan penduduk kampung. |
TAMPARULI: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar memberi amaran tegas kepada sebuah syarikat ladang di Kampung Kauluan supaya menyelesaikan isu pencemaran yang didakwa berpunca daripada sistem biogas di kawasan berkenaan dalam tempoh enam bulan.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan sehingga menjejaskan keselamatan dan kesihatan penduduk kampung.
“Sekiranya dalam tempoh enam bulan perkara ini masih berulang dan tidak dapat diselesaikan, saya tidak teragak-agak untuk mengusulkan kepada kerajaan supaya tindakan lebih drastik diambil,” katanya selepas melakukan lawatan ke ladang berkenaan, hari ini.
Menurut Jamawi, berdasarkan taklimat diterima, pihak syarikat telah melaksanakan beberapa langkah pencegahan dan penambahbaikan terhadap sistem biogas, namun beliau masih belum berpuas hati dengan tindakan yang diambil setakat ini.
Katanya, beliau menetapkan pemantauan berkala setiap tiga bulan bagi memastikan semua tindakan dan penambahbaikan yang dibincangkan benar-benar dilaksanakan.
“Saya sendiri akan turun padang ke kawasan ini setiap tiga bulan untuk memantau perkembangan dan memastikan segala perkara yang dibincangkan dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa kepentingan penduduk kampung tidak boleh diketepikan walaupun industri penternakan memainkan peranan penting dalam pengeluaran ayam dan telur serta aspek biosekuriti negeri.
“Kita tidak mahu menjaga hanya beberapa syarikat tetapi mendatangkan kemudaratan kepada lebih ramai penduduk kampung,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Jamawi turut mencadangkan agar pihak syarikat mempertimbangkan pemindahan operasi ke kawasan lain sekiranya isu pencemaran gagal ditangani dengan baik.
Beliau turut membangkitkan ketiadaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh syarikat berkenaan walaupun telah beroperasi hampir 15 tahun di kawasan tersebut.
Katanya, syarikat sewajarnya membantu komuniti setempat melalui sumbangan pendidikan, kemudahan asas dan tabung kebajikan sebagai tanda menghargai penduduk kampung.
“Kementerian akan terus memantau operasi ladang ternakan secara berterusan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” tambahnya.
