![]() |
| Rakaman orang awam. |
KOTA KINABALU: Ketika Sabah dikejutkan dengan kes seekor gajah Pygmy Borneo ditemui mati di Tongod, negeri itu sekali lagi dikejutkan dengan satu video yang tular di media sosial berkenaan seekor gajah mengalami kecederaan pada belalai di kawasan Felda Kalabakan Selatan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata beliau amat bimbang dengan insiden terbaharu itu yang kini turut dalam perhatian pihak berkuasa.
Menurutnya, aduan mengenai gajah berkenaan sudah diterima minggu lalu sebelum operasi pencarian dan pemantauan lapangan dijalankan pada 13 dan 14 Mei lalu bagi mengesan haiwan itu.
“Bagaimanapun, gajah berkenaan gagal ditemukan sepanjang operasi dijalankan dan operasi menyelamat tidak dapat dimulakan pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal pasukan veterinar, kecederaan pada belalai gajah merupakan kes yang sangat kompleks dan kemungkinan pemulihan penuh adalah rendah sekiranya melibatkan kerosakan serius.
Katanya, antara kemungkinan yang sedang disiasat ialah kecederaan akibat terkena peralatan penuaian yang digunakan di ladang kelapa sawit selain kemungkinan akibat jerat atau objek tajam.
“Antara yang sedang diteliti ialah kemungkinan peralatan penuaian ditinggalkan atau tersangkut di kawasan ladang sehingga menyebabkan kecederaan kepada haiwan berkenaan,” jelasnya.
Jafry memaklumkan pemerhatian awal mendapati luka pada belalai gajah itu menunjukkan tanda-tanda penyembuhan walaupun proses penutupan luka masih belum sempurna.
Tegas beliau, renjer Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah kini meneruskan pemantauan rapi dan setakat ini tiada tanda jangkitan serius yang boleh mengancam nyawa gajah berkenaan.
“Intervensi veterinar belum diperlukan ketika ini, namun rawatan akan dijalankan sekiranya keadaan bertambah buruk atau berlaku komplikasi.
“Kita kekal komited memastikan setiap kes membabitkan hidupan liar ditangani secara bertanggungjawab, profesional dan berdasarkan penilaian saintifik,” tambahnya.
Beliau turut menyeru agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sementara kes itu kini masih dalam siasatan dan penilaian lapangan dijalankan.
Terdahulu, Sabah digemparkan dengan penemuan seekor gajah Borneo yang ditemui mati di kawasan hutan nurseri Hutan Simpan Sungai Pinangah, Tongod, yang disyaki menjadi mangsa pemburu haram selepas bahagian muka dan gadingnya ditemukan hilang.
