SE beri penjelasan isu kenaikan bil elektrik kepada UPPM

KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) tampil memberi penjelasan berhubung isu kenaikan bil elektrik yang sedang tular menerusi sesi libat urus bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Jabatan Ketua Menteri (JKM) Ibu Pejabat, hari ini.

Sesi yang berlangsung di Menara Kinabalu itu melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu, Penampang serta Papar.

Program berkenaan diadakan bagi memperkukuh koordinasi dan penyelarasan antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah khususnya dalam memastikan penyampaian maklumat serta perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan telus dan berkesan. 

Pengarah UPPM, Datuk Awang Kadin Tang berkata, sesi libat urus itu turut menjadi platform membincangkan isu dan cabaran semasa yang sering dibangkitkan masyarakat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, Sabah Electricity turut memberi penerangan berkaitan faktor kenaikan bil elektrik termasuk isu wang cagaran yang menjadi perhatian pengguna ketika ini.

Katanya, sesi soal jawab yang diadakan memberi peluang kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan CDO kawasan menyampaikan isu rakyat secara terus kepada pihak utiliti berkenaan.

“Sesi seperti ini penting bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan masyarakat dapat difahami dan ditangani secara lebih tersusun.

“Kerjasama erat antara agensi dan pemimpin komuniti perlu terus diperkukuh supaya dasar serta inisiatif kerajaan dapat diterjemahkan secara efektif kepada rakyat,” katanya.

Sesi itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Mohd Yaakob Jaafar bersama pegawai kanan syarikat utiliti berkenaan.

Dalam pada itu, Sabah Electricity turut memaklumkan penambahbaikan aplikasi mySE+ sebagai usaha berterusan menyediakan platform digital yang lebih responsif dan mesra pengguna.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama